Tag: COVID-19

  • #PRNJohor : 4 Calon disahkan positif COVID-19

    Calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, menjadi calon keempat, pada pilihan raya negeri (PRN) Johor yang disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian RT-PCR, hari ini.

    Yeo berkata, beliau diuji negatif menerusi ujian kendiri, semalam, namun rasa tidak sihat. Beliau bagaimanapun menjalani ujian RT-PCR dan membatalkan semua aktiviti kempen.

    Awal hari ini, calon Barisan Nasional bagi Penggaram, Ter Hwa Kwong, berkata beliau disahkan positif pagi tadi, sekali gus segala kempen fizikal turut dibatalkan.

    Sebelum ini, calon PKR Bukit Batu, Arthur Chiong, juga disahkan positif, selepas empat hari kempen, manakala Pejuang mengumumkan penukaran calonnya, Zaini Tahar di bagi kawasan Endau, pada saat akhir, selepas disahkan positif.

  • #PRNJohor: ADUN Bukit Melawati positif Covid-19 ketika berkempen disana

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli disahkan positif Covid-19 hari ini, ketika berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor.

    Katanya, beliau kini berada di Johor membantu calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis.

    Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor berkata, keputusan itu diperolehi selepas menjalani ujian saringan di sebuah klinik swasta di Segamat semalam.

    “Semalam (3 Mac), saya mengalami sakit tekak dan keletihan, walaupun ujian air liur yang dilakukan secara harian menunjukkan keputusan negatif.

    “Namun, bagi tujuan pengesahan dan rasa tanggungjawab, saya terus menjalani ujian saringan PCR dan kuarantin kendiri,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, beliau sudah menerima dos penggalak pada 18 Nov lalu.

    “Saya memohon maaf bagi rakan seperjuangan kerana tidak dapat membantu kempen buat masa ini. Kini, saya menjalani kuarantin kendiri dan maaf kepada pihak yang mempunyai kontak sepanjang dua hari lalu.

  • AS senarai Malaysia antara negara ‘sangat berisiko tinggi’ untuk dilawati

    Malaysia dimasukkan dalam senarai destinasi pelancongan “sangat berisiko tinggi” oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

    Negara yang diletakkan pada “Tahap 4: Risiko Sangat Tinggi Covid-19” dengan lebih 500 kes bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan dalam tempoh 28 hari.

    Menurut laporan CNN, tiga negara lain turut dimasukkan dalam senarai Tahap 4 semalam, iaitu Bhutan, Brunei dan Iran. Malaysia di Tahap 3 minggu lalu.

    Malaysia mencatatkan 11,034 kes Covid-19 dua minggu lalu, tetapi jumlah itu terus meningkat sehingga mencecah 27,179 jangkitan hari ini.

    Setakat semalam, sebanyak 7,747 katil tidak kritikal Covid-19 di hospital dan pusat rawatan berisiko rendah digunakan atau 66% daripada keseluruhan kapasiti.

    Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 pula berada pada tahap 33% daripada keseluruhan kapasiti 836 katil.

    CDC memberi amaran kepada pelancong supaya tidak melawat negara dalam senarai Tahap 4.

    “Anda harus mentafsir Tahap 4 yang bermakna ia adalah lokasi berlaku banyak penularan Covid-19 dalam komuniti. Jadi, jika anda pergi, peluang anda dijangkiti koronavirus lebih tinggi,” menurut penganalisis perubatan CNN, Dr Leana Wen.

    Kawasan tumpuan pelancongan lain yang lebih awal disenaraikan sebagai Tahap 4 termasuk Mexico, Kanada, Perancis, Peru, Singapura dan Sepanyol. United Kingdom berada dalam Tahap 4 sejak Julai 2021.

    Dalam nasihat perjalanan lebih menyeluruh, CDC mengesyorkan warganegara AS mengelakkan semua perjalanan antarabangsa, terutama bagi mereka yang tidak lengkap vaksinasi.

  • Polis serbu premis jadi sarang pelacur

    Polis menyerbu sebuah premis di Taman Miharja, Cheras di sini yang menjalankan kegiatan pelacuran dengan menahan sembilan individu malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 8 malam hasil maklumat dan risikan.

    Menurutnya, pemeriksaan kemudian menahan dua lelaki sebagai penjaga dan tujuh wanita warga asing yang menjalankan kegiatan pelacuran.

    “Ketika pemeriksaan terdapat empat lelaki dipercayai untuk mendapatkan khidmat wanita terbabit.

    “Polis kemudian merampas sebuah telefon bimbit, 19 keping kondom, tuala, jadual kerja dan wang tunai RM90,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1952.

    Sementara itu, dalam operasi berasingan polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu dan Jalan Metro Perdana 2, Pudu 11.30 malam tadi.

    Menurut Habibi, seramai 56 pelanggan terdiri 40 lelaki dan 16 wanita diperiksa dalam serbuan dan turut ditahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis.

    “Polis kemudian mengeluarkan kompaun sebanyak RM57,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

    “Polis turut merampas resit perniagaan, peralatan muzik dan botol minuman keras,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

  • #PRNJohor: Ceramah, kempen fizikal, ziarah ke rumah dibenarkan SPR

    Penganjuran ceramah, ziarah ke rumah dan aktiviti ‘walkabout’ antara yang dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor, bulan depan.

    Bagaimanapun, penganjuran ceramah hanya dibenarkan di pejabat dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan tidak melebihi 100 orang, termasuk penganjur, penceramah, urusetia dan peserta.

    SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, pihak penganjur perlu mendapatkan permit daripada polis dan tempoh setiap sesi ceramah hanya dibenarkan selama dua jam sahaja dan tidak melebihi jam 10 malam.

    “Ceramah premis yang terbuka atau tempat umum tidak dibenarkan,” katanya dalam senarai SOP yang dikeluarkan, hari ini.

    “Calon dibenarkan berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu ditetapkan dalam permit seperti dikeluarkan pihak polis.”

    “Sebarang aktiviti mengedarkan risalah atau bahan kempen hendaklah dibuat di luar pagar dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.

    “Aktiviti ‘walkabout’ sepanjang tempoh pilihan raya dibenarkan namun perlu mematuhi SOP iaitu hanya lima orang peserta atau kurang dibenarkan menyertainya.

    “Sidang media selepas mesyuarat parti dibenarkan dengan kehadiran individu terhad kepada mereka yang hadir semasa mesyuarat dan wartawan”.

    Sementara itu, hanya satu bilik gerakan parti dibenarkan untuk beroperasi dalam satu daerah mengundi bagi setiap calon sepanjang tempoh berkempen.

    “Had kapasiti bilik tersebut ialah 50% daripada kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” katanya.

  • Ibu bapa pelajar MRSM berang karnival Keluarga Malaysia diteruskan di sebalik ancaman Covid-19

    Ibu bapa pelajar yang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat dan bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berang kerana Karnival Keluarga Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diteruskan, meskipun anak-anak mereka baharu selesai dikuarantin selepas kes positif Covid-19 dilaporkan.

    Karnival KPT itu, yang bermula semalam hingga esok, turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Noraini Ahmad.

    Ibu bapa yang dihubungi memberitahu, anak mereka selesai dikuarantin pada 12 Feb selepas kes Covid-19 dilaporkan di MRSM Batu Pahat.

    “KPT tidak peka langsung keadaan anak-anak yang baharu selesai dikuarantin oleh kerana ada jangkitan Covid-19 dan juga keselesaan mereka untuk belajar demi masa depan mereka,” luah seorang ibu yang meminta tidak dinamakan demi keselamatan anaknya.

    Anaknya adalah antara 126 pelajar yang sedang menghadapi SPM. Ibu bapa memberitahu bahawa mereka dimaklumkan terdapat 9 kes positif melibatkan pelajar dan guru pada 28 Jan.

    Poster di media sosial menyatakan karnival yang berlangsung di Dewan Seri Mahkota itu dibuka kepada orang ramai dan menyediakan pelbagai acara seperti Pameran ‘Jom Masuk IPT’, karnival kerjaya, gerai jualan komuniti dan pemeriksaan kesihatan percuma.

    Sementara itu, tinjauan di lapangan mendapati ramai orang mengunjungi karnival itu. Ada kalangan pengunjung dilihat memakai pelindung muka bersama pelitup, namun segelintir tidak memakainya dengan sempurna.

    Di khemah utama, di mana majlis perasmian oleh Perdana Menteri berlangsung, kerusi diatur mengikut SOP penjarakan fizikal. Namun keadaan yang pada mulanya teratur terus berubah dengan ketibaan Ismail dan VIP lain dengan orang ramai berkerumun ke arah pemimpin itu.

    Pada majlis perasmian karnival itu hari ini Ismail turut melancarkan logo Sambutan Ulang Tahun Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)-10 dan Larian KPT YSS Keluarga Malaysia 1 juta KM.

    “Kami bantah karnival ini demi kesejahteraan anak-anak kami yang sudah pun mula SPM. Minta warga Batu Pahat, warga Johor dan semua rakyat sama boikot karnival ini,” kata seorang ibu.

    Ibu bapa memberitahu bahawa mereka ada membuat bantahan di laman sosial Noraini. Mereka turut mengadakan undian dalam talian mendesak lokasi karnival ditukar ke tempat lain atau ditangguhkan.

    Bapa seorang pelajar berkata, beliau hanya maklum tentang karnival itu melalui media sosial.

    “Bayangkan dalam tempoh tiga hari ini dengan bunyi bising, saya tak nampak penganjur faham. Budak nak periksa, dengan bunyi bising, ia boleh beri tekanan emosi,” katanya.

    Ibu bapa turut memberitahu bahawa mereka tidak boleh berjumpa anak mereka sejak 9 Jan sehingga hari ini.

  • Penggunaan ICU, katil hospital, PKRC di Kelantan meningkat

    KOTA BHARU: Peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak dua minggu lalu menyebabkan penggunaan unit rawatan rapi (ICU), katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, berkata penggunaan ICU untuk pesakit COVID-19 adalah 47 peratus, diikuti katil hospital bukan kritikal adalah 84 peratus dan PKRC sebanyak 63 peratus.

    Katanya, peningkatan ini disebabkan ada kes individu yang positif COVID-19 dalam kategori 3, 4 dan 5.

    “Namun, kes bagi ketiga-tiga kategori itu tidak membimbangkan kerana kebanyakan kes yang positif COVID-19 harian adalah dalam kategori 1 dan 2.

    “Kebanyakan pesakit juga hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan kepada individu yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Dr Zaini berkata, peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak akhir-akhir ini, disebabkan kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk.

    Justeru, beliau menggesa kepada semua supaya sentiasa menjaga diri untuk mengurangkan kes jangkitan harian di Kelantan.

    “Jika ada gejala, kita minta mereka melakukan ujian kendiri di rumah dan melaporkan dalam MySejahtera terutama bagi individu yang berisiko untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, terdapat 64 kluster aktif di Kelantan sehingga semalam termasuk satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Banggol Kulim.

    Beliau berkata, jumlah positif COVID-19 di negeri ini semalam juga adalah sebanyak 1,783 kes.

  • ‘Barangkali negara yang perlu pulihkan MPN’, Zahid bidas Muhyiddin

    Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membidas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin kerana kekurangan idea untuk memulihkan ekonomi negara.

    Katanya, sehingga kini Muhyidin yang mengetuai MPN belum membentangkan pelan besar untuk membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 dan belenggu ekonomi.

    “Saya tidak pasti sama ada MPN akan memulihkan negara kita atau barangkali negara sebenarnya yang perlu memulihkan MPN.

    Berikut adalah petikan dari catatan facebok beliau:

    Indonesia Bangkit!

    Baru-baru ini Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia Pak Sandiaga Salahuddin Uno, telah berkongsi di dalam halaman Instagram beliau petikan berita ‘Bye-Bye Malaysia-Thailand, Ekonomi RI Sudah Pulih Duluan’ dari Detik Finance bertarik 10 Februari 2022.

    Secara ringkasnya menunjukkan bahawa Indonesia sudah keluar dari belenggu kelembapan ekonomi dan berada dalam jajaran kedudukan sebelum pandemik. Keadaan itu sekali gus meletakkan Indonesia sebagai negara Asia tenggara yang berikutnya menyusul langkah Singapura, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat dan beberapa ekonomi maju yang lain.

    Saya gembira melihat negara jiran kita berjaya. Ia membawa berita baik kepada rantau ini. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebagai demokrasi ke-3 terbesar dunia dan terbesar dalam dunia Islam, Indonesia punya potensi yang mengagumkan.

    Dengan populasinya yang ke-4 terbesar di dunia – kira 260 juta penduduk bersamaan 3.49% daripada jumlah populasi dunia dan merupakan negara (berdasarkan populasi) Islam terbesar dunia.

    IMF menjangkakan yang Indonesia bakal merekodkan KDNK (nominal) ke-16 terbesar dunia berjumlah US$1.075 trilion setakat 2018, dan dijangkakan mencecah US$1.549 trilion menjelang 2023.

    Malah, Indonesia juga mencatatkan ‘GDP by purchasing power parity’ ke-7 terbesar dunia dengan jumlah US$3.492 trilion setakat 2018 dan dijangkakan naik ke tangga ke-4 tertinggi pada tahun 2050 iaitu sebanyak US$12.2 trilion selepas China, India dan AS.

    Dan jangan kita lupa bahawa Indonesia kini adalah sebahagian daripada kumpulan berikut:
    a. CIVETS (iaitu 6 buah negara dengan pasaran pesat membangun susulan kerencaman dan kedinamikan ekonomi dan mempunyai populasi muda yang semakin berkembang iaitu Columbia, Indonesia, Vietnam, Mesir, Turki dan Afrika Selatan),
    b. BICIS (negara dengan pengaruh yang besar dalam hal ehwal serantau),
    c. D-8 Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (kerjasama ekonomi 8 negara Islam membangun bersama-sama dengan Malaysia, Iran, Turki, Nigeria, Bangladesh, Mesir, Pakistan)
    d. Next Eleven (Negara dengan potensi besar menjadi ekonomi terbesar dunia), dan
    e. E7 (7 ekonomi terbesar dunia yang sedang membangun yang boleh disamakan dengan G7, yang turut terdiri daripada China, India, Brazil, Mexico, Turki dan Rusia).

    Namun, yang paling penting sebenarnya, Indonesia mempunyai Kerajaan yang stabil dan kuat yang membolehkannya membuat banyak keputusan besar dan kritikal dengan berkesan dan lancar.

    Sebab itulah UMNO sangat menitik beratkan kestabilan. Perkara ini tidak akan dapat dicapai kalau kita berada dalam situasi yang sentiasa diugut-ugut oleh pihak lawan. Seperti di Johor sebelum ini – 28 ADUN Kerajaan, 27 ADUN Pembangkang dan 1 Speaker Dewan dari blok pembangkang – adalah satu kedudukan yang sangat rapuh, malah boleh dianggap ‘hung assembly’.

    Malah, jika kita rujuk kepada kenyataan dan pandangan DYAM Tengku Mahkota Johor baru-baru ini, zaman Pakatan Harapan (PH) menyaksikan kejatuhan nilai pelaburan yang signifikan kepada negeri Johor berbanding prestasi pada 2016, 2017 dan 2018. Kita sangat sedar bahawa pelaburan bergantung dan dipengaruhi oleh kestabilan politik.

    Dalam hal ini, mereka yang menggalas tanggungjawab untuk mengepalai Majlis Pemulihan Negara (MPN), wajib melihat semua ini sebagai satu keperluan mendesak. Carilah idea besar untuk membawa keluar negara kita dari belenggu ekonomi dan trauma pandemik. Berhentilah menyalahkan semua pihak, khususnya UMNO.

    Setakat ini, Pengerusi MPN belum pun memutuskan atau membentangkan apa-apa pelan besar untuk membawa Malaysia keluar dari pandemik dan belenggu ekonomi.

    𝙎𝙖𝙮𝙖 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙥𝙖𝙨𝙩𝙞 𝙨𝙖𝙢𝙖 𝙖𝙙𝙖 𝙈𝙋𝙉 𝙖𝙠𝙖𝙣 𝙢𝙚𝙢𝙪𝙡𝙞𝙝𝙠𝙖𝙣 𝙣𝙚𝙜𝙖𝙧𝙖 𝙠𝙞𝙩𝙖, 𝙖𝙩𝙖𝙪 𝙗𝙖𝙧𝙖𝙣𝙜𝙠𝙖𝙡𝙞 𝙣𝙚𝙜𝙖𝙧𝙖 𝙨𝙚𝙗𝙚𝙣𝙖𝙧𝙣𝙮𝙖 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙥𝙚𝙧𝙡𝙪 𝙢𝙚𝙢𝙪𝙡𝙞𝙝𝙠𝙖𝙣 𝙈𝙋𝙉.

    BACA juga:

  • Sempadan Thai-Malaysia dijangka dibuka bulan depan

    Kerajaan Thailand bercadang membuka semula sempadan Thai-Malaysia bulan depan bagi merangsang ekonomi dan sektor pelancongan.

    Ini membabitkan pos pemeriksaan sempadan di Songkhla, Yala, Narathiwat dan Satun.

    Menurut jurucakap kerajaan, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengarahkan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan pusat operasi kecemasan pelancongan dan sukan supaya menggariskan langkah-langkah mitigasi wabak bagi pembukaan pos-pos pemeriksaan terbabit.

    Dengan keputusan tersebut, pengembara dari Malaysia akan dibenarkan masuk ke negara itu tanpa memerlukan kuarantin, namun perlu menjalani dua ujian RT-PCR dengan keputusan negatif susulan ketibaan.

    “Perdana Menteri yakin Thailand akan kekal menjadi destinasi pelancongan terulung dunia walaupun dengan wabak,” kata jurucakap tersebut dipetik oleh The Bangkok Post.

    Ketua Pengarah Zon Kesihatan Awam 12 Dr Suthep Phetmak berkata, sebelum sempadan dibuka, agensi kerajaan akan menyediakan proses imigresen, pengujian, hotel berstandard SHA+ dan perniagaan dengan persekitaran bebas Covid-19 seperti pengangkutan awam, tapak pelancongan, restoran dan pasar raya.

    Kementerian Kesihatan Awam Thailand melaporkan semalam bahawa 15,882 jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam dengan 200 daripadanya membabitkan pengembara dari luar negara.

    BACA juga:

  • Dos penggalak Sinovac tersedia di semua PPV offsite mulai Isnin

    Dos penggalak vaksin jenis Sinovac akan tersedia di semua pusat pemberian vaksin (PPV) offsite mulai Isnin, kata ProtectHealth Corp Sdn Bhd (ProtectHealth).

    Syarikat itu berkata ia selaras dengan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 7 Feb bahawa semua penerima vaksin Covid-19 Sinovac kini boleh memilih dos vaksin ketiga pilihan mereka.

    “Mereka yang layak menerima dos penggalak dan mahu mendapatkan vaksin jenis Sinovac boleh menyemak senarai PPV offsite di laman web ProtectHealth,” tambahnya dalam kenyataan.

    ProtectHealth berkata dos penggalak Sinovac akan diberikan secara percuma di semua PPV offsite.

    Isnin lalu, Khairy mengumumkan sejumlah 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapatkan suntikan penggalak, dengan berkata golongan itu terdedah kepada jangkitan varian Omicron.

    “Mereka terdedah kepada gelombang Omicron sebab keberkesanan Sinovac tidaklah setinggi Pfizer, walaupun berkesan, tidaklah sebaik dan efektif Pfizer,” katanya dalam sidang media.