Pencemaran air: Peguam negara tolak dakwaan MB Selangor

Berkaitan

Mimbar masjid berusia lebih 100 tahun di Kampung Kepayang

GOPENG — Mimbar berusia lebih 100 tahun dipercayai dihasilkan...

Bandar tiada dalam peta

Osaka: Disebabkan kemiskinan melampau, bandar Kamagasaki di Osaka, Jepun...

Mula tampak senyum di bibir

Ada yang minta pandangan saya tentang UMNO sekarang. Tanya...
00:01:06

[Video] 73 rumah atas air di Pulau Gaya musnah

KOTA KINABALU: Sebanyak 73 rumah atas air musnah dalam...

Lelaki 57 tahun ditahan berhubung kes bunuh petugas wanita IKRAM

Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan...

Dakwaan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan selepas kerajaan negeri selesai menyiasat kes pencemaran air pada April adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Idrus berkata, Jabatan Peguam Negara hanya dimaklumkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh agensi yang berkaitan dan kertas siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Beliau berkata, pada 17 Mac, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bahawa 4 loji rawatan air di Sungai Selangor dihenti tugas bermula 17 Mac, jam 7.00 malam, akibat pencemaran bau dalam air mentah pada tahap 2 TON.

“Lanjutan itu, siasatan bersepadu bersama oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Exco Alam Sekitar Selangor dijalankan berikutan aduan yang menyebabkan penutupan loji tersebut.

“Pihak JAS Selangor mengeluarkan 30 tawaran kompaun di lapangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM60,000.00 kepada pemilik premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd di Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kg Sungai Dua, Rawang.

“Kompaun itu dikeluarkan tanpa apa-apa rujukan kertas siasatan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain daripada tawaran kompaun yang dikeluarkan pada Mac, yang dibuat tanpa rujukan kepada Jabatan Peguam Negara, Idris menegaskan sehingga kini jabatan itu tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor.

“Selanjutnya pada 4 Sept, Air Selangor memaklumkan bahawa 4 loji rawatan air di Sungai Selangor dihenti tugas bermula 3 Sept, jam 7.15 – 9.00 pagi, akibat pencemaran bau seakan pelarut dalam air mentah pada tahap 3 TON di muka sauk Sungai Selangor.

“Siasatan bersepadu berhubung kejadian itu sedang dijalankan oleh pelbagai agensi yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu hari ini, Amirudin mendakwa tiada tindakan diambil oleh peguam negara selepas kerajaan negeri selesai siasatan kes pencemaran air pada April.

Beliau memaklumkan hal itu kepada pemberita ketika menjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad berbanding kerajaan persekutuan dalam hal menghukum pencemar air.

Insiden itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

…………………..
Berita sebelum:

MB: Kes pencemaran April dah siasat tapi peguam negara tak ambil tindakan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, hari ini mendedahkan tiada tindakan diambil peguam negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April.

Beliau memaklumkan hal itu kepada pemberita ketika menjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad berbanding kerajaan persekutuan dalam hal menghukum pencemar air.

Amirudin ditanya pemberita tentang penambahan hukuman sebat dan lucut hak ke atas pesalah pencemaran air.

Katanya, bidang kuasa Selangor hanya terhad kepada apa yang terkandung dalam Enakmen Lembaga Urus Air Selangor sahaja, oleh itu ia tiada kuasa untuk memenjarakan atau menyebat pesalah.

“Akta Alam Sekitar mempunyai budang kuasa lebih luas,” katanya pada sidang media selepas Dialog Belanjawan Selangor 2021.

“Contohnya, kita susah habis lakukan siasatan ketika pencemaran pada April tetapi tindakan tidak diambil peguam negara. Kuasa pendakwaan juga bukan bawah kita.”

Amirudin menegaskan beliau bukannya mahu menuding jari sebaliknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Putrajaya.

Berdasarkan semakan di laman Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada 16 April akibat pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Dalam kejadian itu, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di 7 wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, dan Kuala Langat berikutan penurunan paras kolam utama.

Semua loji terbabit kembali beroperasi semula keesokan hari.

Sebelum ini, menteri besar mengumumkan hasrat menaikkan kadar denda maksimum terhadap pencemar air daripada RM500,000 kepada RM1 juta menerusi pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor.

Seruan supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap pencemar air merentasi garis politik, termasuk Umno yang mahu undang-undang sedia ada dipinda atau undang-undang baru digubal bagi mengatasi masalah “sabotaj” bekalan air.

Perkembangan ini ketika bekalan air hampir 1.2 juta akaun di 7 wilayah Lembah Klang terjejas sejak Khamis. – FMT

spot_img