POLITIK

Najib di belakang sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ Anwar?

Bekas perdana menteri, Najib Razak adalah orang yang bertanggungjawab memberikan sokongan “kukuh dan meyakinkan” kepada Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan, kata sumber kepada MalaysiaNow, satu perkembangan bakal menyaksikan kedua-dua bekas pemimpin Umno itu berganding mahu demi masa depan politik masing-masing.

Sumber PKR yang mengetahui mengenai perkara ini berkata Najib yang keluarganya berpengaruh di Pahang, menyokong penuh Anwar untuk mengadap Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Difahamkan, kedua-dua pemimpin itu sudah lama sering berhubung.

“Tetapi perbincangan itu semakin rancak pada akhir Julai,” katanya kepada MalaysiaNow.

Akhir Julai lalu adalah ketika mahkamah mendapati Najib bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya melibatkan RM42 juta dari syarikat berkait 1MDB yang masuk dalam akaun peribadinya.

Anwar pada ketika ini sedang menunggu untuk mengadap Agong pada Selasa, yang beliau dakwa untuk mempersembahkan “sokongan kukuh dan meyakinkannya” untuk menumbangkan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas Agong menemui kesemua 222 ahli Parlimen dan pemimpin parti politik, berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Agong mengisytiharkan Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas berpuas hati presiden Bersatu itu mempunyai sokongan majoriti daripada Umno, GPS dan PAS untuk membentuk kerajaan.

Sejak itu Muhyiddin diserang pemimpin PH yang mengatakan beliau sebagai pengkhianat yang mahu menggembalikan kleptokrasi, merujuk kepada Najib dan beberapa pemimpin Umno yang berdepan tuduhan rasuah.

Sabitan bersalah pada 28 Julai memberikan gambaran jelas kepada Najib, sokongannya kepada Muhyiddin yang pernah menjadi timbalannya untuk menjadi perdana menteri adalah sia-sia.

“Selepas melihat Muhyiddin tidak mahu mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskannya, Najib sudah tiada pilihan lagi selain mencari seseorang yang beliau pernah bekerjasama,” kata sumber itu.

Seseorang itu adalah Anwar, yang pernah menolak bekerjasama dengan Najib untuk membentuk kerajaan selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Mei 2018.

“Najib tak nak masuk penjara, Anwar terlalu inginkan untuk jadi perdana menteri, jadi kedua-duanya saling memerlukan. Sebab itu Anwar terlalu yakin akan berjaya kali ini.”

“Dan harus diingat, ahli politik lebih mudah bekerjsama disebabkan kebencian berbanding visi yang sama. Dalam kes ini, kedua-dua Anwar dan Najib membenci Mahathir, individu yang bertanggungjawab melumpuhkan kerjaya politik mereka,” tambah sumber itu.

Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, mengemukakan rayuan terhadap sabitannya.

Najib mengesahkan menghubungi Anwar beberapa kali pada malam pilihan raya 2018, apabila kerajaan BN tidak memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Selama ini, saya berkomunikasi dengannya. Kebanyakan bertanyakan keadaan dirinya, dan lain-lain,” katanya pada November 2018.

Anwar berkata menolak pelawaan Najib pada 9 Mei untuk bergabung menentang Mahathir.

Beberapa hari kemudian, Anwar yang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat, dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan diraja yang disokong Mahathir.

‘Kerja-kerja perhubungan awam sebelum perkenan agong’

Sementara itu, satu sumber dalam Umno berkata Najib akan memastikan Anwar mempunyai jumlah yang mencukupi sebelum mengadap Yang Dipertuan Agong pada 13 Oktober nanti.

“Dan tidak semestinya Najib perlu ada dalam senarai Anwar,” tambahnya.

Sumber berkata Anwar diberitahu “untuk bertindak dengan berhati-hati menjelang temu janjinya dengan istana”, dengan penasihat rapat menasihatinya mengenai “kenyataan yang betul”.

“Oleh itu, apabila Anwar mengeluarkan mesej untuk memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia semalam, ia di atas nasihat pegawai perhubungan awamnya untuk mendapat perhatian dalam isu yang rapat dengan keluarga diraja,” kata sumber itu.

Kesihatan mental merupakan isu yang diperjuangkan oleh Tenku Puteri Iman, puteri kepada Sultan Abdullah, yang merupakan penaung Hari Kesihatan Mental Sedunia oleh Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia.

Tetapi kebijaksanaan Sultan Abdullah menemuduga ahli Parlimen semasa krisis Februari lalu menunjukkan Agong tidak mudah terpengaruh dengan gerak kerja politikus itu.

“Ia mungkin kali pertama satu temuduga panjang dilaksanakan oleh seorang raja, di sebalik keperluan mendesak untuk membentuk kerajaan,” kata seorang pemerhati.

Penyatuan semula ‘Team Wawasan’

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 47 tuduhan rasuah, dilihat menyokong kerjasama antara kedua-dua ahli politik itu.

“Zahid hanyalah orang tengah antara Anwar dan Najib. Dan kedua-dua pemimpin itu masih bosnya,” kata sumber Umno sama kepada MalaysiaNow.

Najib dan Zahid sebahagian daripada apa yang disebut sebagai “Team Wawasan”, yang menyokong Anwar untuk berkuasa ketika mereka bertiga bersama-sama dalam Umno pada pertengahan tahun 1990an.

Dikatakan Najid dan Zahid akan mengatur sokongan daripada “satu kumpulan Ahli Parlimen Umno” yang menghadapi nasib serupa di Mahkamah seperti mereka.

“Muhyiddin sama ada menolak, atau tidak dapat membantu menjamin kebebasan mereka. Oleh itu mereka tidak mempunyai pilihan.”

Ahli Parlimen Umno seperti Tengku Adnan Tengku Mansor, Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahmad Maslan dan Bung Moktar Radin semuanya menghadapi tuduhan rasuah.

Pada Jumaat lalu, MalaysiaNow melaporkan pemimpin DAP menyatakan dengan jelas mereka tidak akan bekerjasama dalam sebarang pakatan bersama ahli Umno yang terlibat dalam kes rasuah.

Penganalisis juga berkata, dengan berbuat demikian, DAP akan terus berperanan menjadi pembangkang yang kuat, dan pada masa sama tidak mahu mengambil risiko kehilangan sokongan pengundi Cina, yang tidak mengundi BN pada tahun 2018 sehingga menyebabkan Najib hilang kuasa.

Malaysia-Today

Najib di belakang sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ Anwar?

Related Articles

Back to top button