
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menjadikan Malaysia kondusif untuk perniagaan dan pelaburan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata keadaan ini dicapai melalui pengenalan Model Baru Ekonomi dan pelbagai program seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“Hari ini, kita melihat ekonomi yang dipacu sektor swasta dalam bentuk pelaburan dalam projek-projek, manakala kerajaan menyediakan sokongan melalui infrastruktur, dan rangka kerja yang sesuai untuk menjalankan perniagaan.
“Bagi Sabah, kita boleh mengatakan dengan yakin bahawa negeri ini antara yang paling selamat dan paling sesuai untuk hidup, mengadakan perdagangan dan menjalankan perniagaan.
“Sabah menawarkan keamanan dan kestabilan dan kami sentiasa berusaha ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan supaya perniagaan boleh berkembang,” kata beliau dalam ucapannya sempena majlis makan malam ulang tahun ke-29 Persekutuan Pekilang-pekilang Sabah (FSM) di sini.
Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pelaburan tulen yang mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti dan bermakna bagi penduduk tempatan, di samping membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi.