
IPOH, — Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Isnin ‘panas’ apabila Anggota Dewan Undangan Negeri Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai) menimbulkan kekecohan sehingga diarahkan keluar dewan.
Kekecohan berlaku sebelum sesi soal jawab bermula apabila Chan tiba-tiba bangun dan meminta penjelasan dan menyatakan ketidakpuasan hati beliau berikutan soalan bertulis yang dikemukakannya tidak dijawab sepenuhnya oleh Exco berkaitan.
Menjelaskan perkara itu, Speaker R. Ganesan berkata setiap soalan yang dikemukakan mestilah relevan.
“Soalan yang diberikan adalah diambil kira mengikut Perintah Tetap 23 (1)(a) yang mana nama tidak boleh dimasukkan di dalam soalan dan kenyataan (soalan) itu tidak perlu dijawab,” katanya pada sesi persidangan pada Isnin.